Friday, 6 July 2012

Kenapa Nak Berubah???

Views


Semua orang mengenalinya. Semua orang menghormatinya. Daripada Dekan sampailah ke makcik kafe. Berwajah bersih dan jernih membuatkan hati yang rawan menjadi tenang semula. Bertudung labuh menutupi aurat bertetapan dengan syariat Islam yang telah diajar oleh Nabi Muhammad. Biarlah orang mengutuknya kolot atau pun kekampungan. Biarlah mereka! Dia tidak kisah asalkan Allah sentiasa memujinya. Dialah seorang perempuan bernama Maslihah.
****
Petang itu, Ashraf terburu-buru pulang ke hostel. Pintu bilik B-21 diketuknya. Tidak lama kemudian, terjengul muka Bro Rahman yang basah.
"Ada apa, Ashraf?" Soal Bro Rahman hairan.
"Boleh saya masuk?" Ashraf meminta izin. Bro Rahman melebarkan pintu tanda mengalu-alukan kedatangan Ashraf.
Ashraf nampak sehelai sejadah sedang terbentang di sudut bilik. Jam dipandang.
"Sudah masuk waktu Asar. Kebetulan bro pun baru nak solat. Jom solat sekali." Ajak Bro Rahman mesra.
Ashraf teragak-agak. Melihatkan Bro Rahman yang sedang menantinya, digagahkan juga kaki ke bilik air. Diambil wuduk sekadar yang diingat sahaja. Baru dia terperasan, sudah bertahun-tahun dia tidak mengambil wuduk. Wuduk pun tidak ambil apatah lagi untuk mendirikan solat.
Kemudian, Ashraf menghampiri Bro Rahman yang sudah sedia untuk mengimamkan solat. Dia berdiri belakang sedikit di sebelah kanan Bro Rahman. AllahuAkbar...
Selesai solat, Ashraf terus mengutarakan masalahnya yang dipendam sejak tadi. Duduk bersama-sama Bro Rahman, Ketua Unit Agama Islam, membuatkan dirinya terasa kerdil.
"Ashraf ada masalah apa?" Bro Rahman bertanya lembut. Wajah Ashraf ditatapnya. Siapa yang tidak kenal dengan Ashraf? Terkenal dengan kenakalannya di kolej itu.
Ashraf terdiam. Lidahnya terasa kelu tiba-tiba. Tetapi, digagahkan juga.
"Sebenarnya... saya nak jadi baik." Akhirnya, Ashraf meluahkan masalahnya.
Bro Rahman terdiam. Dipandangnya Ashraf lama.
Ashraf menarik nafas dalam-dalam. "Saya nak jadi baik. Saya nak berubah. Saya janji saya akan tinggalkan perkara-perkara jahat yang saya pernah buat. Saya harap bro boleh tolong saya."
Bro Rahman mengangguk faham. Faham dengan konflik yang melanda rohani anak muda di hadapannya itu.
"Ashraf nak berubah sebab perempuan?"
Soalan maut daripada Bro Rahman itu menyentak Ashraf. Perasaan segan mulai bertandang di hati. Namun, perlahan-lahan dia mengangguk.
Bro Rahman berdehem sedikit. Nampaknya, tujuan Ashraf perlu diperbetulkan. "Sebelum tu, Ashraf tahu tak maksud baik tu apa?"
Ashraf memikir-mikir sejenak. "Hmm.. Bagi saya, maksud baik adalah apabila orang tu melaksanakan perintah Allah."
Bro Rahman mengangguk. "Betul! Tapi, bro nak tanya Ashraf satu benda. Kita ambil contoh yang paling senang. Yang paling dekat dengan kita. Bagi Ashraf, kalau seorang lelaki tu solat lima waktu sehari semalam tapi bila masuk padang pakai seluar pendek sampai nampak kepala lutut itu dikira baik atau tak?"
Ashraf menggaru kepala. "Saya rasa tak."
"Kenapa Ashraf rasa tak? Padahal dia solat penuh lima waktu?" Bro Rahman menduganya.
"Sebab dia masih tidak mengikut perintah Allah. Walaupun dia solat, tapi auratnya tak terjaga." Ashraf menjawab dengan penuh yakin.
Bro Rahman mengiyakan. "Ashraf, sebelum kita nak berubah kita kena faham maksud baik itu. Adakah bila orang tu menunaikan kelima-lima rukun Islam tu dikira baik walhal dia bergaul bebas dengan jantina lain? Tak jugak, kan? Jadi, kalau Ashraf nak berubah, Ashraf kena berubah secara keseluruhannya."
Ashraf hanya diam mendengar tutur bicara Bro Rahman yang lembut. Perlahan-lahan dia mula memahami maksud tersirat yang sedang dibicarakan.
"Allah ada sebut dalam Al-Quran, 'Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.' Yang ni ayat ke 208, Surah Al-Baqarah. Maksud di sini, Ashraf tak boleh laksanakan perintah Allah tapi sekerat jalan aje. Nak, buat. Kalau tak nak, Ashraf tinggalkan aje."
Bro Rahman menepuk bahu anak muda yang menunduk di hadapannya itu. "Jangan risau, bro akan Bantu Ashraf, insya-Allah. Tapi, satu aje bro nak pesan."
"Apa dia?" Ashraf bertanya.
"Ashraf kena berubah sebab Allah. Jangan sebab harta, wanita ataupun sesiapa sebab risau Ashraf akan berubah sekejap aje. Berubahlah kerana Dia dan bersyukurlah sebab Dia dah ketuk pintu hati Asyraf dan tebarkan hidayah pada Asyraf."
Asyraf berasa sebak. Baru dia menyedari bahawa Allah amat menyayangi hamba-hambaNya walaupun hambaNya sudah berbuat zalim kepadaNya.
"Baliklah. Buat solat sunat taubat nasuha. Insya-Allah, Allah akan permudahkan urusan Asyraf dengan gadis itu. Asyraf jangan risau sebab Allah dah janji perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik."
Asyraf memeluk Bro Rahman erat. Air matanya tumpah juga di bahu lelaki itu.
****
Dua bulan kemudian, Asyraf memberanikan diri untuk berjumpa dengan gadis yang telah menambat hatinya itu. Dengan lafaz Bismillah, diluahkan keinginannya untuk menyunting gadis yang bernama Maslihah itu. Seminggu kemudian, dia mendapat kiriman SMS yang berbunyi: 'Sesungguhnya Allah telah menciptakan wanita itu daripada tulang rusuk lelaki. Izinkan saya untuk menjadi pelengkap tulang rusukmu sehingga ke Jannah, insya-Allah.'
Tengah malam itu, air mata Asyraf tumpah lagi di atas sejadah. Kali ini di hadapan Allah Yang Maha Melihat.


Siapa Kata Tak Boleh Bercinta?

Views


Cinta adalah fitrah yang lahir dari lubuk hati setiap manusia. Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai, tapi cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi fitnah.

Sering kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan perempuan ajnabi itu akan halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang mengakuinya, namun ramai juga yang tidak mengendahkannya.

Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah anugerah Allah. Kita hendaklah memeliharanya daripada menjadi fitnah duniawi. Tanpa kita sedari kehadirannya akan membawa wabak yang agak susah untuk dipadam kalau tidak berjaga-jaga dari awal.

Cinta itu perlulah disalurkan di tempat yang sepatutnya agar kita tidak dilabelkan zalim yakni meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Cinta itu begitu indah apabila dihayati dengan aturan Islam.

Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan ber'couple' itu lengkaplah kebahagiaan kehidupan ini? Persoalan ini timbul apabila melihat ramai kawan-kawan terdekat ber'couple'.

Benarkah cinta itu wujud apabila kita mempunyai pasangan kekasih yang selalu bertanya khabar, ber-sms, ber'chat'ing di Facebook, atau berjumpa ('dating') berdua-duaan untuk melepaskan rindu dan bergayut di telefon? Ke manakah hala tuju perhubungan itu? Adakah ia direstui keluarga atau, persoalan yang lebih besar, adakah perhubungan itu diredhai Allah? Adakah ini semua dinamakan cinta?

Persoalan ini sering berlegar di mindaku tanpa ada noktah jawapannya. Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini.

Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan mendengar pelbagai karenah rakan-rakan yang ber'couple' ini. Sebagai contoh, mereka menghabiskan banyak masa bersama si dia dan mendengar janji-janji manisnya yang disampaikan dengan suara yang sengaja dilunakkan serta dilembutkan. Bukankah suara itu juga sebahagian daripada aurat kita?

Allah SWT berfirman,
"...Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."
(Surah al-Ahzaab, ayat 32)



Mengapa perlu diucap perkataan sayang, cinta dan rindu kepada yang bukan halal bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si dia yang halal bagimu dan bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan.
Apabila ditanyakan persoalan tentang perkahwinan, selalunya mereka yang ber'couple' terdiam sepi kerana tiada jawapan. Bukankah lebih elok jika dipercepatkan perkahwinan? Rasulullah SAW bersabda: "Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Benarkah apabila selalu keluar bersama, kita dapat mengenali pasangan dengan lebih baik atau sekadar untuk mendapatkan perhatian dan keseronokan dunia? Ataupun untuk dijadikan tempat mengadu segala masalah? Bukankah Allah itu tempat terbaik untuk berbicara dari hati ke hati? Ayat-ayat cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah senang dan dapat mententeramkan hati kita.
Allah SWT berfirman,
"...Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang."
(Surah ar-Raad, ayat 28)
Kadang-kadang terdengar ramai lelaki mengatakan perempuan yang tidak melayan ajakan maksiat mereka itu sombong. Kenapa boleh berkata begitu? Apabila si perempuan tidak membalas teguran dan ajakan untuk 'berkenalan', itu bukannya sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri.
Sedarlah lelaki di luar sana, jika anda mahu ibu kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik dahulu. Jika anda ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi terlebih dahulu.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang sering kita dengari yang bermaksud,
"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."
(Surah an-Nur, ayat 26)
Hatiku lagi pedih apabila terpandang atau memandang rakan-rakan yang betudung labuh litup, malah ada juga yang sebilangannya berpudah tapi malangnya mengambil istilah 'couple islamik'.
Benarkah 'couple islamik' itu wujud? Bukankah 'couple' itu haram kerana mereka yang ber'couple' menjalinkan kasih sayang dengan bukan mahramnya tanpa ikatan yang halal? Bukankah mereka lebih berpengetahuan agama dan lebih mengerti akan perkara ini?
Sedarlah wahai teman, itu hanyalah sandiwara syaitan yang ingin mempermainkan dirimu. Perbuatanmu itu boleh merosakkan nama baik muslimah yang lain; yang benar-benar menutup auratnya untuk menuju redha Ilahi. Bak kata pepatah Melayu, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga."

Kenapa perlu ada 'couple'? Kenapa ia menjadi satu trend? Adakah disebabkan pengaruh rakan sebaya? Banyak kata-kata cinta dikongsi bersama di Facebook, tetapi sejauh manakah ia memberi kesan kepada hati kita? Dengan bicara kata-kata indah dan puisi yang begitu cantik susunan bahasanya, bolehkan ia memberi kesan dan menjadi pengajaran serta peringatan untuk diri sendiri?
Ingatlah, hanya dengan mengingatiNya hati kita akan menjadi tenang. Kita sering mendambakan kata-kata yang indah, lupakah kita ayat-ayat dariNya begitu indah bila kita mentadaburkan maknanya dan mengamalkan apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang?
Penting sangatkah ber'couple'? Kenapa ia boleh berlaku? Adakah kerana hati kita kosong? Sedarkah teman-teman termasuk diri ini, mengapa kadang-kadang hati kita merasa kosong? Bila hati rasa tidak tenang, bermuhasabahlah, fikir balik adakah kita sudah selesaikan tanggungjawab kepada Tuhan? Bila rasa susah hati, tanya pada diri adakah kita ada berhutang dengan sesiapa di luar sana? Bila hati terasa sedih, fikir balik pengorbanan apa yang kita tidak pernah buat dan apa pengorbanan orang lain terhadap kita.
Cara untuk mendapat ketenangan hati bukannya dengan mengadu kepada 'couple' kita, tapi dengan mengadu kepada Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa, kekasih hati yang hakiki.
Kita hendaklah sentiasa berdoa untuk orang lain (bukan hanya berdoa untuk diri sendiri sahaja). Melalui doalah hubungan kita dengan Allah akan menjadi lebih baik. Doa juga menjadi peringatan untuk diri sendiri supaya menjauhi kemungkaran di dunia ini untuk mendapat syurgaNya di sana. Cinta suci yang seharusnya kita garapkan dahulu ialah cinta kepada Allah, Rasulullah dan kedua ibu bapa.
Oleh itu jagalah maruah diri, dan yang utama, jagalah hati. Berhati-hatilah dengan hatimu kerana dirimu begitu berharga pada pandangan Allah, bukan pada pandangan si dia. Cinta Allah terlalu Agung berbanding cinta si dia yang boleh hilang dan meninggalkan dirimu pada bila-bila masa sahaja. Cinta Allah kekal selamanya sampai ke syurga.
Yakinlah dengan janjiNya untuk pertemuan dengan si halal bagi menyempurnakan kasih sayang di muka bumi ini. Masa dan waktu menentukan segalanya berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah cinta kalian untuk yang halal sahaja. Insya-Allah, masa itu akan tiba. Bersabarlah teman dan jangan penat memperbaiki diri serta mencari ilmu rumah tangga yang bakal ditempuhi.
Setiap permasalahan 'couple' itu ada penyelesaiannya iaitu bernikah. Jadilah contoh yang terbaik dalam mengikuti sunnah Rasulullah dengan membina ikatan pernikahan. Percintaan selepas perkahwinan itu adalah salah satu jalannya. Maka, jagalah diri, jagalah hati dan jagalah iman kita. InsyaAllah, dipermudahkan segala urusan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...